Sila Klik untuk jadi lebih menarik...!!!!

Thursday, November 25, 2010

TAHNIAH : Pasukan skuasy wanita sumbang emas Malaysia ke-9

Sumber myMetro

GUANGZHOU: Pasukan skuasy wanita Malaysia menguasai acara skuasy pada Sukan Asia ke-16 selepas menewaskan Hong Kong dalam pertandingan akhir berpasukan di sini.
Pasukan Malaysia yang diketuai pemain skuasy Nombor Satu dunia, Nicol Ann David, Low Wee Wern, Delia Arnold dan Sharon Wee mengalahkan Hong Kong, 2-0.

Kemenangan itu membolehkan kontinjen Malaysia mencapai sasaran untuk memenangi sembilan pingat emas pada Sukan Asia di Guangzhou.
Pemain Nombor Dua Malaysia, Low Wee Wern memulakan langkah awal selepas menewaskan pemain berpengalaman Rebecca Chiu, 11-4, 7-11, 11-6 dan 11-9 dalam pertemuan 54 minit.

"Saya sedar ini adalah set permainan yang mencabar. Beliau seorang yang berpengalaman dan rentak permainannya baik dan saya perlu berhati-hati.

"Ini pertemuan kali kedua dengan Rebecca. Kali pertama kira-kira dua atau tiga tahun lalu. Ranking kami lebih kurang sama dan kami tidak pernah bertemu sejak dua tahun lepas dan saya sedar ia sudah pasti mencabar," katanya yang kini pemain di ranking ke-16 dunia.

Pada pertemuan di NSC Tour 2007 dan pusingan kelayakan Terbuka Kuala Lumpur 2008, Wee Wern tewas kepada Rebecca, 3-0 dalam kedua-dua kejohanan.

Pemenang pingat emas individu wanita Nicol, memperoleh mata kemenangan dengan 11-8, 11-7 dan 11-6 ke atas Annie Au.
Bagi Nicol, kemenangan ke atas Hong Kong memberi satu perasaan yang berbeza kerana pasukan Malaysia sering bertemu pasukan itu beberapa kali pada kejohanan Asia.

"Dalam setiap kejohanan peringkat Asia dengan mereka...ia mengimbau satu kenangan tetapi ia berlainan dengan Sukan Asia," kata Nicol.

Beliau berkata Wee Wern sudah melakukan tugas dengan baik dengan memenangi mata pertama buat Malaysia. "Wee Wern sudah bermain dengan cemerlang untuk menewaskan Rebecca, yang benar-benar berpengalaman dan kemenangan 3-1 itu adalah hebat.

Saya gembira kerana pasukan telah melakukan yang terbaik dan menghasilkan keputusan.

"Saya bangga kerana kontinjen Malaysia gembira dengan apa yang telah kami lakukan setakat ini," kata juara dunia lima kali itu.

Sementara itu, pasukan India dan Korea Selatan mendapat pingat gangsa sebagai pasukan yang tewas dalam peringkat separuh akhir.--Bernama

0 comments:

Post a Comment